/ artismelayu.net / Artis meninggal dunia 2023 /

Bekas anggota kumpulan nasyid In-Team, Suhaimi Saad meninggal dunia

15 November 2023 - Suhaimi Saad, 43, meninggal dunia pada pukul 7.40 malam di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultan Ismail Johor Bahru dipercayai akibat dari komplikasi jangkitan kuman dalam paru-paru.

Arwah dimasukkan ke hospital pada 4 November dan kemudian telah 'ditidurkan' setelah berlaku kegagalan organ dalaman. Arwah bergantung sepenuhnya kepada alat bantuan pernafasan.

Arwah mula tidak sihat dan mengalami batuk kronik sejak bulan Ogos dan mengalami masalah cirit-birit selama tiga bulan lalu yang menyebabkan badannya susut mendadak dan hilang 20kg. Arwah akan muntah setiap kali makan.

Namun arwah memang orang yang secara terang-terangan berpendirian anti-hospital dan anti-vaksin. Oleh kerana itulah arwah tidak mendapatkan rawatan di hospital apabila kesihatannya mula merosot.

Mesej terakhir arwah di akaun TikTok ialah pada 5 November berbunyi "SS minta maaf zahir dan batin kepada korang semua. Terima kasih atas perkenalan dan segala kebaikan korang. Assalamualaikum." SS ialah Suaimi Saad. Mungkin mesej ini dikeluarkan sebelum arwah ditidurkan.

Jenazah arwah dikebumikan pada kira-kira pukul 9.40 pagi hari Khamis di Tanah Perkuburan Islam FELCRA Sungai Ara, di Kampung Sungai Ara, Kota Tinggi iaitu kampung Ina Naim.

Ina Naim memulakan tempoh iddah di rumah orang tuanya di FELCRA Sungai Ara dan belum memikirkan apa-apa perancangan masa depannya.


Suhaimi (43 tahun) bersama isterinya, Ina Naim (39 tahun) dan empat orang anak-anaknya yang berumur 9 hingga 15 tahun. Kesemua anak-anaknya tidak dihantar masuk sekolah. Suhaimi Saad sendiri mengajar mereka di rumah.


Arwah berkahwin dengan Ina Naim pada 12 Ogos 2007. Mereka mula berkenalan semasa Ina Naim ditawarkan oleh Hijaz Records untuk menyanyi. Selama 16 tahun bersama dan bahagia dan dikurniakan empat cahaya mata.

Mohd Suhaimi Bin Saad ialah bekas anggota kumpulan nasyid In-Team dan suami kepada bekas penyanyi Ina Naim (Nordiana Mohd Naim). Menggunakan nama Suhaimi Saad, Suhaimi In-Team (semasa bersama In-Team), SS di akaun Instagram dan TikTok, Mosus di akaun Facebook.


  • Dilahirkan pada 12 Oktober 1980 di Triang, Pahang.

  • Graduan Universiti Islam Antarabangsa dalam bidang Bahasa Arab.

  • Berkahwin dengan bekas penyanyi dan bekas tunang Mawi iaitu Ina Naim (Nordiana Mohd Naim) pada 12 Ogos 2007.

  • Dikurniakan empat orang anak iaitu Ehmad Hadie Elfardie, 15, Saliman Elkhoyri, 13, Phyrosh Elfadwan, 11, dan Nur Layla Elghufrony, 19 tahun.


Banyak kontroversi

Semasa hidupnya selepas meninggalkan kumpulan In-Team, Suhaimi Saad banyak menimbulkan kontroversi dan berperangai pelik-pelik. Arwah sering berbalah dengan orang ramai di media sosial berkaitan dengan tindakannya menyekat anak-anaknya dari menerima pendidikan formal (masuk sekolah), bertekak yang bumi ini leper dan bukan bulat dan mencabar angkasawan negara Dr Sheikh Muszaphar untuk bersumpah yang bumi ini bulat, menyelar rakan artis yang menegur orang ramai yang tidak mengikut SOP (semasa COVID), akti-vaksin, menganggap penerima vaksin bodoh macam lembu, anti-hospital, sering memburukkan kerajaan, meletakkan jawatan sebagai penyanyi nasyid namun terus juga menjadi penyanyi. Bahasa yang digunakan arwah memang kasar dan tidak langsung mencerminkan imej penyanyi nasyid.

Karier Seni

  • Mula menjadi penyanyi nasyid dalam tahun 2000 apabila ditawarkan untuk menyertai kumpulan nasyid In-Team (sekarang Inteam) yang baru kehilangan dua anggota asalnya.

  • Bersama kumpulan In-Team di bawah Hijjaz Music Entertainment sehingga 2005.

  • Sempat melahirkan empat album semasa bersama In-Team.

  • Meninggalkan kumpulan In-Team apabila kumpulan tersebut bertindak keluar dari Hijjaz Music Entertainment untuk menubuhkan syarikat rakaman sendiri.

  • Menjadi artis solo dan menghasilkan empat single iaitu:

    • 'Kias Cinta' (2006)
    • 'Kalamak' (2008)
    • 'Zikir Selawat dan Doa' (2013)
    • 'Maksud Hidup' (2016)
  • Dijemput untuk terlibat sama dalam dalam album In-Team yang ke7, ke-8 dan ke-9.

  • Selepas itu meneruskan karier solo manakala kumpulan nasyid In-Team masih kekal aktif hingga kini.

  • Menubuhkan syarikat pengurusan sendiri, Karya Mosus, dan menerbitkan single pertama ('Kias Cinta') dalam tahun 2006.

  • Pada 2021 menubuhkan kumpulan sendiri bersama isteri dan anak-anaknya yang dinamakan Bismillah.


Tiada pekerjaan tetap selepas keluar dari In-Team

Selepas meninggalkan kumpulan nasyid In-Team, Suhaimi Saad tidak mempunyai pekerjaan tetap. Arwah menerima royalti tahunan dari jualan album-album (bersama In-Team), mengajar mengaji secara online, dan mengambil upah mengurut.

Sakit mata yang kronik

Sejak tahun 2019 Suhaimi Saad mengidap sakit mata yang kronik yang menyukarkannya melakukan kerja dan memerlukan Ina Naim untuk menguruskan kerja-kerja harian. Mereka mendapat bantuan daripada wakil komuniti Kubang Kerian, Kelantan.



Di media sosial, Suhaimi Saad menggunakan nama Mosus, SS, atau Mie.


Kenyataan pedas Mosus (Suhaimi Saad) ke atas penerima vaksin yang meninggal dunia.


Luahan hati anak kepada penerima vaksin yang meninggal dunia.


Tindakan berani tapi kontroversi Suhaimi Saad yang menolak hakikat bahawa 'Allah ada di mana-mana' mendapat perhatian Menteri Agama.