Walaupun membawa imej rockers yang brutal, namun Mael sebenarnya adalah seorang yang pendiam dan mempunyai sifat yang sangat merendah diri.
Mael tidak pernah hanyut dalam arus populariti dan dia tidak pernah meninggi diri.
Sebagai seorang bapa, Mael sangat menekankan pendidikan agama anak-anaknya.
Mael (vokalis) dan rakannya, Izo (gitaris) menubuhkan kumpulan Tragedy dalam tahun 1985 di Pantai Dalam, Kuala Lumpur.
Dua pemuzik lain menyertai mereka selepas itu iaitu Yazid (dram) dan Man Tobey (bass).
Kumpulan Tragedy aktif membuat persembahan di beberapa tempat terutamannya di funfair sehingga mereka digelarkan 'Raja Funfair'
Pada tahun 1988, Yazid dan Man Tobey meninggalkan Tragedy dan digantikan oleh Zuar (bass) dan Lee Space (dram).
Kumpulan Tragedy ditimpa tragedi. Mereka terkandas di Langkawi selepas buat show dan tidak boleh balik ke Kuala Lumpur kerana tidak ada wang. Mereka ditipu oleh penganjur.
Komposer dan penerbit (arwah) J.S. Kevin (Zul Adnan Mohd Razali) yang kebetulan berada di Langkawi bersama kumpulan Bumi Putra Rockers telah menyelamatkan mereka.
J.S. Kevin mengadakan usahasama dengan kumpulan Tragedy. J.S. Kevin menukarkan nama Tragedy menjadi Ekspedisi. Mael dan rakan-rakannya kurang bersetuju dengan sebutan tersebut. J.S. Kevin menukarkan Ekspedisi kepada ejaan XPDC dan nama itu kekal hinggal kini.
Memang Mael yang menubuhkan kumpulan Tragedy, namun nama 'XPDC' adalah harta intelek Life Records dan bukan milik Mael.
Album pertama Mael bersama XPDC ialah Darjah Satu (1990) yang dibantu oleh pemuzik undangan Yan Lefthanded (bass) dan Amy Handy Black (dram). Populariti XPDC melonjak naik dengan lagu hits C.I.N.T.A ciptaan J.S. Kevin dendangan Mael. Lagu C.I.N.T.A berjaya membawa XPDC ke final Juara Lagu TV3 1990.
Lee Space meningalkan XPDC (dan menyertai kumpulan Def-Gab-C) dan tempatnya di XPDC digantikan oleh Amy Handy Black.
Album XPDC bersama Mael yang seterusnya ialah Timur Barat (1992), Kita Peng-Yu (1994), dan Brutal (1997).
Mael meninggalkan XPDC selepas album Brutal dan mengundang kontroversi yang sangat hebat dalam dunia rock tanah air. Tambahan pula album Brutal adalah album terbaik XPDC dengan rekod jualan melebihi 350 ribu unit.
Mael digantikan oleh Ali Terra Rossa.
Pada penghujung tahun 2005, Mael bersama-sama rakan-rakan lamanya Izo, Zua dan Amy kembali bergabung tenaga dalam kumpulan XPDC. Vokalis Ali meningalkan XPDC dan menubuhkan kumpulan Mpire.
Kumpulan XPDC telah berpecah dua dalam tahun 2015 rentetan dari kegagalan konsert Rockestra XPDC: Aku Masih Di Sini dan beberapa isu lain. EXPDC berpecah kepada XPDC Kita Peng-Yu yang disertai oleh Mael (bersama Jeff, Zua dan Amy), dan XPDC Militia (Ali, Izo, Arif Izo, Eddie dan Lola).
Dalam satu konsert pada tahun 2015, penganjur pernah mencampakkan duit ke lantai di depan orang ramai apabila Mael meminta bayaran wang. Mael terasa yang maruahnya terbang melayang menuju ekspedisi entah ke mana pada waktu itu.
Mael bersama kumpulan XPDC Kita Peng-Yu telah menjayakan konsert besar Rockstage - Sound of War XPDC & FTG (Oktober 2017) dan konsert Metal Legends XPDC & Cromok (Februari 2018).
Pada malam Jumaat 27 April 2023 semasa berada di Muar, Mael XPDC mengadu sesak nafas dan meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke hospital.
Perjalanan hidup dunia rock Mael selama 38 tahun berakhir pada malam itu.