/ artismelayu.net /

Yasin Brothers dihukum penjara seumur hidup
dengan 16 sebatan

22 Ogos 2024 Mahkamah Tinggi Shah Alam menjatuhi hukuman penjara seumur hidup dengan 16 sebatan ke atas penyanyi nasyid dan komposer Muhammad Yasin Sulaiman. Hukuman ini adalah kerana Mahkamah Tinggi memutuskan yang Yasin bersalah atas tiga pertuduhan dadah dikenakan ke atasnya dua tahun dahulu.

Mahkamah Tinggi juga mengeluarkan arahan supaya hukuman yang dikenakan itu berjalan serentak dari tarikh Yasin ditangkap iaitu pada 24 Mac 2022.

Sebelum ini dibebaskan, sekarang dihukum semula

Pada 29 November 2023, Mahkamah Sesyen melepaskan dan membebaskan Yasin dari ketiga-tiga pertuduhan yang dikenakan ke atasnya. Yasin diperintahkan untuk ditempatkan di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak selama mana tempoh yang diperkenankan oleh Sultan Selangor.

Pihak pendakwaraya kurang bersetuju dengan keputusan tersebut dan membuat rayuan di Mahkamah Tinggi.

Akhirnya Mahkamah Tinggi menolak keputusan Mahkamah Sesyen yang melepas dan membebaskan Yasin dan mengenakan hukuman seperti yang dikenakan sekarang ini. Akibatnya, Yasin kembali ke Penjara Kajang untuk menghabiskan sisa-sisa hayatnya di sana sehingga dia meninggal dunia.

Akan buat rayuan di Mahkamah Rayuan

Peguam Ariff Azami iaitu peguambela Yasin berkata mereka akur dan hormat pada keputusan Mahkamah Tinggi yang sememangnya mempunyai hak untuk mengesahkan atau menukar apa-apa keputusan Hakim Mahkamah Sesyen.

Namun seperti mana yang dibenarkan oleh sistem perundangan negara, mereka akan membuat rayuan di Mahkamah Rayuan. Notis rayuan akan terus dikemukakan sehari kemudian.

Peguam Ariff Azami juga berharap agar Yasin terus menerima proses perubatan di Penjara Kajang seperti mana yang diterimanya sekarang.

Perincian pertuduhan ke atas Yasin

  • Yasin didakwa memberikan dirinya (mengambil) dadah jenis '11-nor-delta-9 tetrahydrocannabinol-9-carboxylic acid' di Pejabat Narkotik IPD Petaling Jaya pada 11.05 malam, 24 Mac 2022.

    • Yasin dituduh mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15(1) akta sama yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan.

  • Yasin didakwa memiliki dadah jenis kanabis seberat 193.7 gram dan menanam 17 pokok ganja dalam pasu di kediamannya di Kota Damansara di sini, pada 5.30 petang, tarikh yang sama.

    • Untuk kedua-dua di atas Yasin dituduh mengikut Seksyen 6 ADB dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(2) akta sama yang membawa hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun dan boleh dikenakan hukuman sebat tidak kurang 10 sebatan, serta Seksyen 6B(1)(a) ADB dan boleh dihukum di bawah Seksyen 6B(3) akta sama, yang membawa hukuman penjara seumur hidup dan sebat tidak kurang daripada enam sebatan.

Tiga kesalahan Yasin dan hukuman

  1. Memiliki dadah jenis kanabis seberat 193.7 gram. Dihukum penjara lapan tahun dan sepuluh sebatan.

  2. Menanam 17 pokok kanabis (dalam pasu plastik). Dihukum penjara seumur hidup dan enam sebatan.

  3. Memberi dirinya (mengambil) dadah berbahaya. Dihukum penjara 10 tahun.

Kronologi ringkas

  • 24 Mac 2022 - Yasin ditangkap di atas tiga kesalahan dan dibicarakan di Mahkamah Sesyen.

  • 29 November 2023 - Mahkamah Sesyen melepas dan membebaskan Yasin. Diperintahkan untuk ke Hospital Bahagia Ulu Kinta.

  • Pihak pendakwaraya mengemukan rayuan di Mahkamah Tinggi.

  • 22 Ogos 2024 - Mahkamah Tinggi mengenepikan keputusan Mahkamah Sesyen (yang melepas dan membebaskan) dan mengenakan hukuman ke atas Yasin.

  • Yasin kembali ke penjara (hingga ke akhir hayat) dan 16 kali sebatan menanti.