artismelayu.net

Syamsul Yusof, Puteri Sarah bercerai juga akhirnya

14 Jun 2023 - Syamsul Yusof (Mohd Shamsul Md Yusof, 39) melafazkan cerai talak satu ke atas isterinya, Puteri Sarah (Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin, 38) di hadapan Hakim Syarie, Akmalluddin Ilyas, di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur.

Syamsul Yusof yang selama ini enggan melepaskan Puteri Sarah, terpaksa akur dengan keputusan hakim mahkamah yang telah membuat penghakiman untuk membenarkan permohonan cerai yang difailkan oleh Puteri Sarah mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984.

Peguam Syarie Datuk Akberdin Abdul Kader mewakili Puteri Sarah manakala Peguam Syarie Azmi Mohd Rais mewakili Syamsul Yusof.

Perceraian ini menamatkan tempoh hidup mereka sebagai suami isteri selama sembilan tahun dan dalam masa yang sama turut menamatkan pergolakan rumah tangga mereka yang dikatakan telah berpanjangan selama empat tahun.



Syamsul Yusof, Puteri Sarah, peguam syarie Akberdin Abdul Kadir dan peguam syarie Azmi Mohd Rais ditemubual pemberita di Mahkamah Rendah Syariah setelah selesai penghakiman tuntutan cerai dan lafaz talak.


Detik-detik awal setelah tidak lagi bergelar suami-isteri. Seorang masih bergelar en suami (kepada Ira Kazar). Seorang lagi sudah bergelar janda.


Perceraian yang mahal harganya. Syamsul Yusof terpaksa menanggung pembiayaan anak-anaknya yang berjumpah RM80,500 setahun selain dari RM15,000 bayaran iddah untuk Puteri Sarah.


Runtuhnya mahligai
sembilan tahun

Syamsul Yusof berkahwin dengan Puteri Sarah pada 8 Mac 2014. Mereka dikurniakan dua anak iaitu Syaikhul Islam (6 tahun) dan Sumayyah (4 tahun).

RM80,500 setahun untuk Puteri Sarah

Akhbar The Star melaporkan bahawa sebahagian dari penghakiman hakim mahkamah ialah Syamsul Yusof perlu membayar nafkah iddah berjumlah RM15000 kepada Puteri Sarah. Jumlah ini adalah untuk selama tiga bulan (tempoh iddah) sahaja.

Selain dari itu, Syamsul Yusof perlu membayar RM6000 sebulan (bermula Julai nanti) kepada Puteri Sarah sebagai pembiayaan kedua anaknya.

Syamsul Yusof turut perlu membayar kos insuran tahunan untuk kedua-dua anaknya yang bernilai RM3500 dan RM5000 setahun untuk pembiayaan percutian mereka.

Hak penjagaan anak-anak kepada Puteri Sarah

Seperti yang dinyatakan sendiri oleh Syamsul Yusof semasa dia dan Puteri Sarah menjawab soalan-soalan wartawan di mahkamah, hak penjagaan anak-anak mereka adalah milik Puteri Sarah. Juga dinyatakan dan dipersetujui oleh Puteri Sarah, tiada had masa atau kekangan jadual lawatan anak-anak untuk Syamsul Yusof. Boleh melawat anytime.


Keluarga bahagia suatu ketika dahulu. Puteri Sarah (38 tahun), Sumayyah (4 tahun), Syamsul (39 tahun), Syaikhul Islam (6 tahun).


Empat tahun keluarga bergolak

Pergolakan rumah tangga Syamsul Yusof dengan Puteri Sarah telah memenuhi ruang media sepanjang tahun 2022. Namun dikatakan yang kemelut rumah tangga mereka sebenarnya telah berpanjangan selama empat tahun.

Mei 2022 - Kemunculan 'orang ketiga'

Pada sekitar bulan Mei 2022 telah tersebar cerita-cerita Syamsul telah berkahwin senyap-senyap dengan Ira anak Kazar. Syamsul Yusof terus membisu. Puteri Sarah pula diberitakan telah lari senyap-senyap dari rumah bersama kedua-dua anaknya.

Jun 2022 - Puteri Sarah saman Ira Kazar

Puteri Sarah memfailkan saman terhadap Ira Kazar kerana didakwa mengganggu rumah tangganya.

4 Julai 2022 - Puteri Sarah saman Ira Kazar

Mahkamah Sesyen di sini mengeluarkan perintah injunksi inter-parte (kedua-dua belah pihak) yang antara lainnya menyatakan Ira atau sesiapa yang mempunyai kaitan dengan Ira menjejaskan ketenteraman dan kedamaian Puteri Sarah dan keluarganya serta keluarga mentuanya termasuk suaminya, Syamsul. Ira juga dihalang daripada mendekati atau berada dalam jarak 500 meter daripada Puteri Sarah, keluarganya dan keluarga mentuanya, suaminya atau sesiapa yang mempunyai kaitan dengan isteri pertama Syamsul itu.

21 Disember 2022 - Puteri Sarah gelarkan suaminya penipu, toksik dan narsistik

Dalam hantaran Instagram (IG) Story, Puteri Sarah memberi bayangan yang dia sudah menghidu pernikahan suaminya dengan Ira Kazar. Syamsul Yusof tetap tidak membuka mulut.

"Soroklah selagi boleh sorok. Kebenaran akan terbukti suatu hari nanti. Narsistik seperti anda akan sentiasa memanipulasi kebenaran. Saya tidak mahu terbabit dengan toksik. Penipu akan sentiasa menjadi penipu. Semoga anda berdua berjaya. Dua-duanya toksik."

6 Januari - Pengakuan sensasi Syamsul Yusof

Akhirnya Syamsul Yusof mengaku telah pun bernikah dengan Ira Kazar di Thailand dengan berwalikan bapa Ira sendiri iaitu pelakon veteran Kazar Saisi. Syamsul Yusof kata mereka bernikah di Thailand untuk 'memudahkan beberapa perkara.'

Dalam masa yang sama, Syamsul merayu supaya Puteri Sarah balik semula ke rumah mereka bersama-sama anak-anak mereka yang 'dibawa keluar tanpa izin'.

16 Januari - Puteri Sarah failkan tuntutan perceraian di mahkamah

Puteri Sarah memfailkan perceraian di Mahkamah Rendah Syariah. Dia mahu bercerai secara baik dengan kebenaran mahkamah di bawah Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 atas alasan sudah tiada persefahaman dan berlaku shiqaq (perbalahan berpanjangan suami-isteri) serta tidak lagi dapat hidup bersama sebagai suami-isteri mengikut hukum syarak.

Puteri Sarah mengaku dia dan anak-anaknya tidak lagi tinggal sebumbung bersama Syamsul sama ada di rumah mentua (rumah Yusof Haslam) atau di rumah mereka di Taman Melawati.

Puteri Sarah mendakwa semuanya adalah berpunca dari tekanan atau gangguan 'pihak ketiga' atau hubungan sulit suaminya, sehingga menyebabkan dia lari meninggalkan rumah bersama anak-anaknya. Sebutan kes ditetapkan pada 7 Mac 2023.

7 Mac - Syamsul Yusof enggan bercerai

Dalam prosiding di Mahkamah Rendah Syariah pada 7 Mac 2023, Syamsul Yusof tidak bersetuju dengan permohonan cerai Puteri Sarah. Susulan itu, mahkamah memerintahkan kedua-dua pihak melantik wakil Jawatan Kuasa Pendamai (JKP) dalam permohonan cerai itu. JKP terdiri daripada seorang ahli keluarga yang rapat dengan pasangan terbabit, bertujuan memberi nasihat dan mencari jalan penyelesaian dalam kemelut rumah tangga. Laporan JKP akan membantu hakim membuat keputusan. Di mahkamah yang sama, peguam syarie Akberdin berkata perkahwinan mereka sudah 'tidak dapat diselamatkan lagi'. Hujahnya, Puteri Sarah dan Syamsul sudah lama tinggal berasingan dan tidak berkomunikasi antara satu sama lain.

21 Mac 2023 - Syamsul Yusof failkan permohonan nusyuz di mahkamah

Syamsul Yusof memfailkan permohonan nusyuz terhadap isteri pertamanya, Puteri Sarah Liyana di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur. Permohonan itu difailkan Syamsul, atau nama sebenarnya Mohd Shamsul Md Yusof, 39, terhadap Puteri Sarah Liyana atau nama sebenarnya Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin ,38, di hadapan Pendaftar Mahkamah Syariah Harun Hashim pada 3.10 petang.

Mohd Shamsul mendakwa Puteri Sarah sering menghubungi bekas kekasihnya yang berstatus suami orang tanpa pengetahuan beliau sehingga mengganggu rumah tangga lelaki itu.

Selain itu, Mohd Shamsul mendakwa Puteri Sarah telah meninggalkan beliau selama lebih dua tahun dan ia bertentangan dengan kemahuannya.

Shamsul berkata pelbagai langkah dan usaha juga telah diambil untuk memujuk Puteri Sarah supaya kembali ke pangkuan beliau dan memerintah defendan supaya kembali taat namun wanita itu enggan sebaliknya telah mengeluarkan kenyataan tidak benar, berunsur fitnah dan tohmahan terhadap dirinya.

Selain itu, antara alasan dikemukakan terhadap tuntutan nusyuz itu termasuk meninggalkan rumah kelamin sejak Oktober 2020, enggan mematuhi notis nusyuz dan memfitnahnya memukul serta tidak memberi nafkah.

Sehubungan itu, Mohd Shamsul memohon supaya mahkamah mengisytiharkan Puteri Sarah telah nusyuz terhadap plaintif sejak Oktober 2020 dan defendan tidak berhak menerima nafkah isteri sejak tarikh nusyuz disabitkan.

Permohonan itu dibuat mengikut Seksyen 60 (2) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 dan Seksyen 61(3) (b)(i) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003.

Sebutan kes itu ialah pada 6 April ini.

Mohd Shamsul ketika ditemui media berkata tujuan beliau memfailkan permohonan tersebut ialah untuk menyelamatkan kembali rumah tangga mereka kerana pelakon filem Munafik itu masih menyayangi isterinya.

"Saya mahu selamatkan rumah tangga kerana masih memikirkan anak-anak, kita nak cakap soal kesilapan, semua orang buat silap, isteri saya pun ada kesilapan juga," katanya.

10 April - Syamsul Yusof bersetuju untuk ceraikan Puteri Sarah

Dalam prosiding di Mahkamah Rendah Syariah pada 20 April 2023, Syamsul Yusof bersetuju untuk melafazkan talak pada prosiding yang akan datang. Ini berikutan beberapa persetujuan yang telah dcapai antara Puteri Sarah (plaintif) dan Syamsul Yusof (defendan).

18 April - Syamsul Yusof masih enggan ceraikan Puteri Sarah

Sepatutnya Syamsul Yusof melafazkan cerai ke atas Puteri Sarah di Mahkamah Rendah Syariah pada tarikh ini. Namun dia masih enggan berbuat demikian. Perbincangan perceraian tidak mencapai persetujuan kedua belah pihak.

Faktor penghalang pada pihak Syamsul Yusof ialah keenganan Puteri Sarah menarik balik saman ke atas Ira Kazar, dan jumlah tuntutan nafkah yang telah diubah oleh Puteri Sarah. Kata peguam syarie kepada Syamsul Yusof, "Apabila diserahkan draf persetujuan, kami dapati terdapat perubahan antaranya Puteri Sarah masih ingin meneruskan tindakan saman terhadap Ira Kazar dan keluarganya. Puteri Sarah juga meminta jumlah mutaah tinggi yang tidak dapat dipersetujui oleh Syamsul. Bagaimanapun, kami ada mencadangkan beberapa terma lain, tetapi tidak dipersetujui."

Berikutan tiada lafaz cerai daripada Syamsul, prosiding akan diteruskan dengan laporan Jawatankuasa Pendamai (JKP) di depan Hakim Syarie Akmaluddin Ilyas pada 25 Mei depan.

21 April - Puteri Sarah menyesal kahwin dengan Syamsul Yusof, tak mahu hartanya

Sambil menangis terisak-isak dalam satu hantaran video, Puteri Sarah mula melakonkan watak wanita teraniaya. Puteri Sarah kata berkahwin dengan Syamsul Yusof adalah kesilapan paling besar dalam hidupnya. "Saya dah penat dengan semua drama ini. Kepada Mohd Syamsul, kau tak nak bagi nafkah aku? Suka hati kau. Kau nak menang, kau menanglah.. aku kalah. Ambillah seua harta-harta awak. Aku tak nak satu sen pun."

26 Mei 2023 - Syamsul Yusof dapat lanjutan tempoh injuksi

Syamsul Yusof berjaya mendapatkan lanjutan tempoh perintah injuksi terhadap isteri pertamanya, Puteri Sarah Liyana di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam. Lanjutan tersebut adalah sehingga 8 Jun dan atau sehingga kes inter-parte (kedua-dua pihak) didengar dan/atau diputuskan di mahkamah kelak. Permohonan lanjutan dibuat kerana tempoh perintah injuksi selama 30 hari sebelum ini telah tamat.

Perintah injuksi yang dipohon itu bertujuan untuk menghalang Puteri Sarah dari mengeluarkan macam-macam kenyataan atau komen berkaitan dengan kes mereka di mahkamah (kes nusyuz yang difailkan oleh Syamsul Yusof) memandangkan kes tersebut belum lagi bermula. Tujuan lain adalah untuk menjaga ketenteraman kedua-dua belah pihak selain dari mengelak komen-komen dari Puteri Sarah yang bersifat subjudis (maksud: perkara sedang dipertimbangkan (atau akan dipertimbangkan) oleh mahkamah dan oleh itu tidak boleh diperkatakan di khalayak ramai).