ArtisMelayu.net  |  Home

Spa-Q Musim Ketiga

Nanu
Nanu

Nanu ialah Qistina

Akhirnya aktres Nanu Baharuddin menjadi pilihan pihak Global Station Sdn Bhd. Perwatakan Nanu yang menghampiri watak Qistina menjadikan dia pilihan yang paling tepat untuk menggantikan Norish Karman. Puas berahsia tentang aktres mana yang akan bawa watak Qistina di musim baru, akhirnya pihak produser Global Station Sdn Bhd mengumumkan nama Nanu Baharuddin di sebuah sidang akhbar di ibu kota petang tadi. Sebelum ini, terdapat banyak spekulasi tentang siapa yang akan menjadi Qistina di musim ketiga Spa-Q. Antara nama-nama yang disebut termasuk Umie Aida dan Sofia Jane.

Adakah benar Norish Karman disingkirkan?

"Norish bukan disingkirkan tetapi kami hanya ingin menampilkan muka-muka baru bersesuaian dengan tajuk baru dan bersiaran di Astro," kata Adila Datuk Ramly, penerbit eksekutif Global Station Sdn Bhd, yang juga anak kepada produser Zaiton Mohd Jiwa. Bukan saja watak utama ditukar, malah tajuk drama bersiri yang pernah di siarkan di TV3 dan kini di Astro, akan membawa tajuk baru 'Spa Qistina'. Drama bersiri popular ini pernah bersiaran sebanyak 60 episod.

Muka baru penyeri Spa Qistina

Banyak muka-muka baru akan menjadi penyeri Spa Qistina yang akan bersiaran pada bulan Januari 2010 seperti Fasha Sandha sebagai Frieda, Nora Danish (Maya), Rizman Khuzaini (Ade Putra), Kefli AF3 dan barisan pelakon-pelakon lama seperti Farahdiya dan Azizah Mahzan. Azizah, yang sebelum ini tidak pasti akan berlakon lagi untuk musim baru, akhirnya kelihatan di sidang akhbar. Azizah akan mengekalkan wataknya sebagai Marlia, kakak Qistina. Penulis skrip drama ini adalah Rina Khan sementara pengarah untuk musim ini ialah Zul Arshad.

Spa Q atau Spa Qistina ini penuh kontroversi. Anda tahu mengenai kontroversi watak Qistina ini bukan?

Jujurnya, saya tak tahu drama ini banyak kontroversi. Saya juga bukan peminat setia drama ini. Jadi segala kontroversi atau sensasi saya memang tak ambil pusing. Saya tak baca. Tapi saya tahu tentang watak Qistina yang mahu digantikan namun tak sangka mereka memberi kepercayaan itu kepada saya.

Pemilihan anda umpama pilihan kedua selepas Norish Karman disingkirkan. Ia juga menimbulkan syak mungkin anda merampas watak Qistina daripada pelakon asal. Mengapa anda ambil watak ini?

Okey, saya dapat tawaran awal bulan ini. Saya tengok dan baca skrip selama sehari sebelum saya bersetuju untuk bawa karakter Qistina. Pada saya, saya bukan pilihan kedua atau merampas watak ini daripada Norish. Sebagai pelakon, saya tidak mempunyai hak membuat keputusan itu, sebaliknya ia datang daripada pihak produksi. Apabila produksi memilih saya, dan saya sukakan konflik Qistina, saya ambil watak ini. Saya tak ada niat nak rampas karakter orang.

Tapi perbandingan pasti akan wujud antara anda dengan pelakon lama.

Ya, itu sudah pasti. Sebenarnya saya tertekan dan risau juga bila orang akan banding-bandingkan cara lakonan saya dengan pelakon asal Qistina. Dan jujur, saya tak mahu menonton Qistina yang dulu sebaik saya menjadi Qistina yang baru sebab tak mahu terbawa-bawa.

Sebagai seorang pelakon, saya akan bawa Qistina dengan cara saya sebaik mungkin. Tapi jika ada yang tidak suka, atau saya terkurang atau terlebih melakonkan Qistina, saya minta maaf awal-awal.

Rasanya, bagaimana Qistina di tangan anda?

Selepas membaca skrip, Qistina yang baru merupakan seorang wanita yang lebih tegas dan kuat berbanding dua musim lalu yang menyaksikan dia lebih banyak menangis.

Saya tak pernah sambung ambil watak orang, jadi saya ambil cabaran ini dengan kaji semula perjalanan Qistina. Apa yang saya suka mengenai watak ini adalah konflik-konflik yang wujud dalam dirinya.

Drama ini dikenali dengan trademark solekan tebal dan rambut palsu. Bagaimana Qistina di tangan anda yang kini berambut pendek?

Masa mula-mula dapat tawaran, saya beritahu penerbit bahawa saya berambut pendek kerana saya sedia maklum karakter Qistina berambut palsu dan bersolek tebal. Tapi Qistina di tangan saya mungkin tidak akan menggunakan rambut palsu. Saya memang tak suka rambut palsu.

Sementara dari segi solekan, saya serahkan kepada yang arif. Hanya sebagai pelakon, saya mahu sesuatu watak itu nampak benar dan logik. Saya tak kisah solekan tebal, cuma kalau untuk adegan di rumah atau sedang solat, saya rasa solekan harus logik.

Rambut pendek anda dipotong khusus untuk drama ini?

Taklah. Sudah dua bulan saya berambut pendek kerana bosan 10 tahun berambut panjang. Dan saya juga sudah buat sebuah drama dan sebuah filem dengan gaya rambut baru ini. Termasuk Qistina, ini drama kedua saya berambut pendek dan setakat ini, saya belum ada masalah dengan rambut pendek untuk watak Qistina.

Membaca skripnya, anda rasa Qistina akan berakhir di sini atau ada sambungannya?

Oh, ini kena tanya penerbit. Tapi menurut pandangan saya, perjalanan cerita ini masih panjang bila melihat konflik-konflik yang direka menerusi skripnya.


Norish Karman digugurkan

Norish Karman terkilan, tak diberitahu digugurkan

30 Sep 2009: Norish Karman mendapat tahu namanya digugurkan dari musim ketiga ‘Spa Q’melalui ruangan Soseh Soseh (Harian Metro) pada 16 September lalu. Tetapi ketika itu, dia melihatnya sebagai satu taktik untuk mensensasikan musim terbaru ‘Spa Q’ yang sudah berpindah dari TV3 ke Astro. Tiada sebab untuknya mempercayai laporan tersebut. Skrip untuk 13-episod 'Spa Q 3' sudah berada di tangan. Ditambah pula, pengarah sendiri mengingatkannya untuk mengosongkan jadual bagi membolehkan penggambaran berjalan lancar. Tetapi apabila ramai teman menyampaikan berita yang sama, Norish Karman menghubungi pengarah untuk mendapatkan kepastian.

"Dia kata 'sorry' pada saya. Katanya, dia pun baru saja tahu tentang keputusan itu apabila melihat skrip untuk watak saya diberikan kepada pelakon lain. Dia tak boleh buat apa-apa. Keputusan bukan ditangannya. Saya okay. Walaupun, seperti yang anda katakan tadi, cerita 'Spa Q'berkisarkan Qistina. Dan sayalah Qistina. Bagaimana jalan ceritanya nanti tanpa dia? Apapun, keputusan ini mungkin lebih mengecewakan para peminat daripada saya," kata Norish Karman.

"Give me a proper explanation"

Yang membuatnya terkilan ialah apabila sehingga hari ini, tiada sesiapa dari pihak Astro yang menghubunginya untuk memaklumkan tentang keputusan itu.

"Tak salah jika mereka nak gugurkan saya. Tetapi sekurang-kurangnya, tunjukkanlah etika kerja yang baik. Beritahu saja yang saya tidak diperlukan lagi. Ini, saya perlu mendengar dari mulut orang lain. Kelakarnya, mereka yang memberitahu saya kata saya tak sepatutnya tahu. Saya bukan pendatang baru dalam industri. After all I've done, membawa'Spa Q' ke satu tahap yang baru dalam drama bersiri tempatan, I deserved to be treated with respect. Give me a proper explanation. Saya memang teruja menantikan penggambaran. I’ve done my homework. Dari maklum balas peminat, saya dah tahu bagaimana nak bawa watak Qistina untuk musim ini. Saya juga membelanjakan RM2,000 untuk pakaian Qistina dan 'hair extensions'. Saya benar-benar berusaha untuk memberikan yang terbaik. I feel so, so sad."

"I'm the victim"

Menurut Norish Karman, alasan yang diberikan untuk pengugurannya adalah kerana wajahnya yang terlalu sinonim dengan TV3, ditambah pula pihak Astro ingin melakukan pembaharuan di dalam 'Spa Q'. Tentang kononnya dia digugurkan atas sebab dia "banyak buat hal dengan kru produksi hingga ramai yang bengang", Norish menjawab, "Jika benar, mengapa mereka tawarkan watak itu pada saya dan siap beri saya skrip? I'm the victim. Tapi saya taknak salahkan sesiapa. Saya hanya ingin menjelaskan kepada peminat bahawa saya digugurkan bukan kerana mempunyai 'attitude problem'."

Ditanya jalan cerita 'Spa Q 3' menurut skrip yang diterima, dedah Norish Karman, musim ini Nora Danish akan membuat penampilan sebagai isteri Dafi. Ketika pernikahan mereka, pembantu rumah Qistina didatangi Julia yang memberikannya sekeping gambar seorang bayi. "Saya sudah diberitahu fokus musim ini akan diletakkan pada anak-anak Qistina. Walaupun tidak banyak babak yang menampilkan saya tapi takdelah sampai di 'write off' begitu saja," katanya.

 |  Home  |  Info Artis  |  Pautan Laman Artis  |  Galeri  |  Forum Artis  |