/ artismelayu.net / Artis meninggal dunia tahun lepas /

Miji Cromok meninggal dunia

Rabu 6 Mac 2024 10.40 malam - Miji Cromok, 58, bekas pemain dram band thrash metal Cromok meninggal dunia di rumahnya di Pasir Mas, Kelantan. Sebelum itu arwah dirawat di hospital kerana mengidap kanser hati tahap empat. Arwah Miji ialah orang Pasir Mas, Kelantan.


Karl (atas, sebelah Miji) adalah orang yang memaklumkan bahawa Miji telah masuk hospital (lebih kurang seminggu sebelum meninggal dunia) kerana menghadapai kanser tahap empat. Berita pemergian Miji juga dimaklumkan oleh Karl. Arwah Miji meninggalkan seorang balu, Halijah Othman, 52, bersama tiga orang anak, Tasnim Asyiqin, 26, Farah Farhana, 23, dan Muhammad Hakimi, 21.

"Dengan penuh kesedihan dan rasa kehilangan yang mendalam, kami ingin memberitahu bahawa Tarmizi Mokhtar (Miji Cromok) telah kembali ke Rahmatullah pada 6 Mac 2024 jam 10.40 malam. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dikalangan orang-orang yang beriman. Kami mengundang anda semua untuk turut serta dalam doa dan memberikan sokongan kepada keluarganya di masa kesedihan ini. Semoga Allah SWT memberikan kekuatan kepada keluarga untuk menghadapi dugaan ini dengan sabar dan reda," - Karl Cromok.


Miji sebagai penonton di konsert Cromok 'Forever In Time 30th Anniversary Concert' di Zepp Kuala Lumpur. Di penghujung konsert tersebut Cromok mengumumkan pengunduran diri Miji.


Jenazah arwah Miji disembahyangkan di rumah saudara-maranya di Kampung Jias pada pukul 2.30 petang sebelum selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Kubur Besar Bandar Pasir Mas.

Miji drummer Cromok

Tarmizi 'Miji' Mokhtar. Lahir di Pasir Mas, Kelantan pada 30 May 1966.

Salah seorang dari empat anggota asal band thrash metal Cromok. Bermain dram. Bersama Cromok dari tahun 1987-2006, dan dari tahun 2009-2023.


Band thrash metal Cromok lahir di Australia

Band Cromok ditubuhkan pada tahun 1987 oleh empat orang siswa Malaysia di University of Wollongong, New South Wales, Australia.

Mereka ialah Din (Khairuddin Muhammad), Sam (Shamsuddin Ali), Karl (Khairul Anuar Shariff) dan Miji (Tarmizi Mokhtar).


Miji mengundur diri dari Cromok

Cromok mengumumkan pengunduran diri Miji pada 14 Oktober 2023 di bahagian akhir konsert 'Forever In Time 30th Anniversary Concert' di Zepp Kuala Lumpur. Konsert tersebut adalah sempena ulang tahun Cromok ke-30.

Miji turut hadir tetapi hanya sebagai penonton. Apis Cropox bermain dram pada malam itu menggantikan Miji.

Konsert terakhir Miji bersama Cromok adalah konsert 'Rock The World 20th Anniversary' di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Disember 2022. Pada masa itu, Miji telah menyatakan kepada rakan-rakannya tentang hasratnya untuk berundur diri daripada Cromok kerana masalah kesihatan.