ArtisMelayu.net    Home  |  Link laman Artis  |  Forum Artis  |  Webmaster

Mawi - Ekin Pengantin Baru

BERITA HARIAN, JOHOR BAHRU: Pemenang anugerah Bintang Paling Popular Berita Harian tiga kali berturut-turut, Asmawi Ani atau lebih dikenali dengan Mawi, 27, selamat diijabkabulkan dengan Nora'Asikin Rahmat (Ekin), 29, di Masjid Sultan Abu Bakar, di sini pagi semalam.

Hanya sekali lafaz, penyanyi popular yang turut digelar Raja SMS itu sah bergelar suami selepas dinikahkan Imam Masjid Sultan Abu Bakar, Datuk Mahat Mohd Said berserta mas kahwin RM22.50, tepat jam 11.45 pagi.

Acara yang dipancarkan secara langsung menerusi saluran Astro Oasis (saluran 106) itu turut menyaksikan kedua-dua mempelai diiringi keluarga masing-masing ketika melangkah masuk ke dewan solat.

Mengulas perasaannya selepas bergelar suami, Mawi pada sidang media selepas itu, berkata dia bersyukur segala-galanya berjalan lancar.

"Selepas melalui pelbagai tohmahan, kejian, akhirnya kami berkahwin juga," katanya.


Mawi menyerahkan mas kahwin kepada Ekin selepas selamat diijab kabul. - Foto Berita Harian

Mawi dan Ekin mencium ibu Mawi, Ramlah Sarlan selepas majlis pernikahan. - Foto Berita Harian

Ekin pula tidak dapat menahan rasa sebak sehingga mengalirkan air mata sewaktu memeluk ibunya, Fatimah Saad sejurus selepas majlis berakhir.

"Sebenarnya saya memang rapat dengan ibu dan semua masalah sebelum ini dikongsi bersama. Bila sudah bergelar isteri, saya berasa seolah akan kehilangannya," katanya.

Majlis pernikahan itu dimeriahkan lebih 200 tetamu jemputan termasuk rakan artis, media dan peminat.

Mengenakan busana rona sedondon rekaan Putra dari butik Cosry, merpati dua sejoli tambah menyerlah dengan sentuhan solekan Saidatul Nisa dan Tona.

Kerlipan barangan perhiasan indah tajaan Habib Jewels menaikkan seri kedua-dua mempelai. Habib bukan saja menaja barangan kemas untuk acara akad nikah malah turut melengkapi persalinan bersanding dan acara potong kek dengan nilai keseluruhan RM2.5 juta.

Rombongan mempelai lelaki diketuai Abdul Ghani Khamis membawa sembilan dulang hantaran berupa cek bernilai RM30,000, senaskhah al-Quran, cincin, tas tangan, jam tangan, alat solek dan wangian, kek dan sirih junjung.


Mawi menyarungkan cincin. Foto The Star

Hantaran dibalas 11 dulang berupa jam tangan, kasut, dompet dan tali pinggang, sejadah dan songkok, senaskhah al-Quran, cincin, set wangian, kek, buah-buahan, coklat dan sirih junjung.

Pada sebelah malamnya pula berlangsung majlis persandingan di Stadium Tertutup Majlis Bandaraya Johor Bahru yang dihadiri 1,000 tetamu jemputan.

Majlis bertandang sebelah pengantin lelaki akan diadakan minggu depan di Felda Taib Andak, sebelum diteruskan ke majlis resepsi ala- Arab di Palace Of The Golden Horses, 11 Januari depan.


Saat-saat bahagia. Semoga berkekalan sepanjang masa.
Foto The Star, Bernama, Utusan

Kata Mawi tentang Ekin
"Ekin akan jadi suri rumah tangga sepenuh masa dan untuk elakkan fitnah yang bukan-bukan saya akan bawa dia ke mana-mana majlis. Dia juga akan jadi pengurus, perunding imej dan macam-macam lagilah untuk saya." Mawi akan membuka butik muslimah buat isteri tercinta. "Butik muslimah ini akan jadi peneman dan pengubat kebosanannya.”

Dipetik dari Berita Harian 21 Disember 2008

ArtisMelayu.net    Home  |  Link laman Artis  |  Forum Artis  |  Webmaster