/ artismelayu.net / Artis meninggal dunia tahun lepas /

Hamdan Senario meninggal dunia


Hamdan Senario (Hamdan Ramli), 54 tahun.

Anggota kumpulan Senario, Hamdan Ramli, 54 tahun meninggal dunia pada hari Jumaat 5 Januari 2024. Merupakan artis Melayu pertama yang meninggal dunia di tahun 2024.

Arwah meninggal dunia kira-kira pada pukul 12.50 tengah hari dalam keadaan intubasi di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru.

Pada 1 Januari lalu, doktor telah mengambil keputusan untuk meletakkan arwah dalam keadaan intubasi (dalam istilah yang kurang tepat, 'ditidurkan') setelah disahkan mengalami jangkitan kuman dalam darah.

Sehari sebelum itu, arwah dimasukkan ke hospital setelah mengalami cirit-birit dan kesukaran bernafas. Sehari selepas itu, kumpulan Senario muncul di media sosial memohon supaya orang ramai memanjatkan doa untuk arwah.

Doktor hospital memaklumkan bahawa artis menghadapi komplikasi buah pinggang.

Selepas 'ditidurkan', keadaan jantung arwah menjadi sangat lemah sehingga terpaksa bergantung kepada alat bantuan pernafasan untuk terus melancarkan pernafasan.

Pada tengah hari hari Jumaat 5 Januari, doktor mengesahkan arwah telah meninggal dunia.

Kenapa berada di Johor Bahru

Arwah berada di Johor Bahru kerana anggota kumpulan pelawak terkenal Senario mengadakan acara 'Wonderful Night with Senario Union' pada 31 Disember 2023.

Acara tersebut mengambil sempena sambutan tahun baru, meraikan 'reunion' anggota Senario yang telah berpecah, selain dari menyambut ulang tahun penubuhan Senario yang ke-27. Acara tersebut pada asasnya adalah acara beramal sambil berhibur untuk mengumpul dana bagi membantu golongan artis veteran tanah air.

Malangnya, acara tersebut terpaksa diteruskan tanpa Hamdan kerana arwah menghadapi masalah kesihatan dan dimasukkan ke Hospital Sultanah Aminah.

Dikebumikan di Tambun

Jenazah Hamdan Senario dibawa terus dari Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sultanah Aminah di Johor Bahru ke Masjid Abu Ubaidah di Taman Perpaduan, Tambun (berhampiran kampung arwah) untuk disembahyangkan. Kira-kira 500 orang jemaah hadir untuk solat jenazah. Janazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tambun di Tambun, Perak kira-kira pada pukul 11.50 malam.

Turut mengiringi arwah di tanah perkuburan ialah rakan-rakan arwah dalam kumpulan Senario - Wahid, Azlee, Lan Pet Pet, Yassin, Saiful Apek dan Ilya. Mereka gagal mengadakan reunion (tahun ke-27 Senario) bersama-sama di pentas acara di Johor Bahru. Namun mereka ber-reunion juga akhirnya di Tanah Perkuburan Islam Tambun.

Talqin turun dibaca oleh Wahid Senario yang sebelum itu turut turun ke liang lahad. Ini baru benar-benar namanya sahabat dunia akhirat.

Nama sebenar ialah Ahmad Hamdan Bin Mohamed Ramli. Meninggal dunia pada hari Jumaat, 5 Januari 2024. Dilahirkan pada 1 September 1969 dan Batu Gajah, Perak.

Arwah pernah menjadi pelakon, pelawak dan penyanyi. Namun lebih dikenali sebagai salah seraong anggota kompulan pelawak Senario. Manjadi artis Melayu antara tahun 1995 hingga meninggal dunia (2004).

Meninggalkan seorang balu, Puan Norhamalini Ahmed (53) dan empat orang anak iaitu Zeyreen Misha (31), Nazreen Aiman (28), Syazreen Haqem (25) dan Nur Natasya Umairah (21).

Dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tambun, Perak.


'Ditidurkan' bukan istilah yang tepat

Bunyi 'ditidurkan' menjadi suatu stigma kepada ramai orang (sanak saudara pesakit) kerana ia dianggap sebagai langkah para doktor untuk membuat persiapan untuk kematian seseorang pesakit.

Istilah perubatan ialah intubasi iaitu pesakit diletakkan dalam keadaan intubasi (intubation).

Intubasi adalah langkah terakhir yang dilakukan oleh pihak hospital untuk menyelamatkan nyawa pesakit. Ini kerana pesakit tidak mempunyai bekalan oksigen yang cukup dalam tubuh badannya untuk terus hidup jika pesakit tidak 'tidur'. Intubasi adalah langkah terakhir dari ikhtiar para doktor untuk menyelamatkan nyawa pesakit. Selain dari tidak akan mendapat bekalan oksigen yang mencukupi dalam darah, pesakit juga akan berada dalam keadaan sakit yang berterusan dan itu sudah semestinya menyeksa pesakit tanpa henti. Oleh kerana itulah para doktor membuat pilihan untuk meletakkan pesakit dalam keadaan 'tidur' atau koma atau tidak sedarkan diri.

Walau apapun sebenarnya, ajal maut telah tertulis dalam takdir seseorang. Pesakit meninggal dunia bukan kerana diintubasikan, tetapi kerana ajalnya telah ditentukan oleh Allah SWT. Wallahu'alam.