| www.artismelayu.net

10 Ogos 2023: Farid Kamil, Diana Danielle bercerai juga akhirnya

Pada hari perkahwinannya dengan Diana Danielle pada 3 November 2012, Farid Kamil pernah berkata "Saya berdoa agar Diana menjadi isteri yang solehah dan perkahwinan ini kekal ke alam syurga." Itulah harapan Farid Kamil namun Allah telah menentukan segala-galanya.

Dalam prosiding di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, Farid Kamil Zahri (42 tahun) terpaksa melepaskan juga Diana Danielle yang mengasak dan mendesak bertubi-tubi untuk bercerai.

Farid Kamil tidak hadir di Mahkamah pada hari itu kerana tidak sihat (baru pulih rawata COVID-19). Oleh itu, lafaz cerai dilakukan Farid Kamil menerusi aplikasi Google Meet di hadapan Hakim Syarie, Shukran Yusof pada pukul 3.22 petang selepas mahkamah membenarkan permohonan cerai difailkan Diana mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.

Turut hadir di mahkamah semasa lafaz talak ialah orang yang menuntut cerai, Diana Danielle Danny Beeson (32 tahun).

Sebelum prosiding bermula, Diana Danielle masuk ke bilik mahkamah sambil menyanyi-nyanyi. "Tiada sebab untuk saya berasa sedih," katanya kepada wartawan.

Sebelum ini Mahkamah telah mengeluarkan perintah hak penjagaan sementara (ke atas dua orang anak mereka iaitu Muhammad, 10, dan Nur Aurora, 8) kepada Diana Danielle.


30 Mei 2023: Farid Kamil enggan ceraikan Diana Danielle

30 Mei 2023. Di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Farid Kamil masih enggan melafazkan talak (menceraikan) isterinya, Diana Danielle, walaupun laporan JKP (Jawatankuasa Pendamai) memaklumkan bahawa perkahwinan mereka tidak menemui jalan perdamaian.

Oleh itu, Hakim Syarie Shukran Yusof memerintahkan supaya kes perceraian (yang dimohon oleh Diana Danielle) diteruskan dengan kaedah hakam (timbang tara atau tribunal) kerabat atau keluarga.

Mereka akan panjat mahkamah lagi pada 15 Jun 2023 untuk tarikh sebutan kes dan perlantikan hakam.

Mahkamah juga menetapkan tarikh yang sama (15 Jun) untuk sebutan kes permohonan nusyuz (isteri derhaka kepada suami) yang dibuat oleh Farid Kamil terhadap Diana Danielle.


Farid Kamil enggan menceraikan isterinya.


Diana Danielle mahu diceraikan suaminya.

Jawatankuasa Pendamai (JKP) terdiri daripada anggota keluarga yang rapat dengan si suami (Farid Kamil) dan si isteri (Diana Danielle) yang berperanan untuk memberi nasihat dan mencari penyelesaian.

Hakam atau arbitrasi (atau timbang tara) ialah proses di mana pihak-pihak yang bertikai melantik seseorang bagi menyelesaikan pertikaian berkenaan berlandaskan hukum syarak.

Diana Danielle sebelum ini telah memohon cerai di Mahkamah dan nekad untuk tetap bercerai kerana merasakan sudah tiada persefaaman.

Pada 6 April 2023, Farid memfailkan perintah kembali taat dan sabitan nusyuz terhadap isterinya.


3 November 2012: Farid Kamil, Diana Danielle selamat berkahwin

Setelah empat tahun berkenalan, pelakon Farid Kamil (31 tahun) dan pelakon Diana Danielle (21 tahun) berkahwin pada 3 November 2012. Majlis pernikahan dilangsungkan pada waktu pagi di Flamingo By The Lake di Ampang. Mas kahwin berjumlah RM10,000 manakala wang hantaran berjumlah RM20,000. Antara hantaran dari pihak lelaki ialah motorsikal mini Kawasaki KSR 110 dan cincin Tiffany & Co. Majlis resepsi pula diadakan di Taman Equestrian, Putrajaya pada 1 Disember 2012. Farid Kamil memakai 'pakaian istiadat' caca marba seolah-olah pakaian tentera tapi sebenarnya bukan pakaian rasmi tentera. Baju, seluar, dan topi adalah pakaian PDRM. Pangkat di bahu adalah pakaian ATM berpangkat mejar jeneral. Lencana di bahu kanan pula adalah lambang TUDM.